JERANTUT: Seorang lelaki dan anaknya nyaris dihempap dahan besar pokok durian tua di belakang rumah mereka dalam kejadian ribut di Felda Kota Gelanggi 2 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian selama 20 minit pada pukul 5.45 petang itu, sebanyak 30 rumah rosak teruk akibat dibadai ribut termasuk beberapa buah kenderaan di ruang parkir dihempap pokok.
Zaini Zainal Abidin, 47, berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang anaknya sedang makan di ruang dapur.
“Pada mulanya saya tidak menyangka bencana berlaku memandangkan kebiasaannya cuma angin kencang dan hujan lebat.
“Lama-kelamaan, keadaan mula berubah dan bertukar menjadi ribut sehingga kedengaran banyak dahan pokok jatuh dan suara jiran menjerit minta menyelamatkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Zaini, ketika angin kencang, dia membuka pintu dapur untuk melihat keadaan di luar dan dahan besar pokok durian tua berdekatan dapur tiba-tiba jatuh.
“Saya segera menutup pintu dapur dan menarik anak masuk ke dalam rumah sebelum dahan pokok durian menghempap bumbung dapur. Saya bersama anak cuma dapat berlindung di sebalik dinding konkrit,” katanya.
Katanya, dia bersyukur terselamat bersama anaknya daripada dihempap dahan besar termasuk isterinya, Norliza Ghazali, 47, yang ketika itu berada bersama dua lagi anak dalam rumah.
Sementara itu, peniaga roti canai, Shahrul Shamsuddin, 53, berkata, keseluruhan bumbung dan atap kedainya termasuk bahagian dalam rumah bersebelahan diterbangkan ribut sehingga lantai ditakungi air hujan lebat.
“Saya berharap pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan bagi membina semula bumbung yang hilang dan kami kembali selesa berniaga serta tinggal di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung, Felda Kota Gelanggi 2, Wan Mahmod Wan Mohamad berkata, kejadian itu turut menggemparkan penduduk dan kebanyakannya lari keluar berlindung di beranda rumah dan garaj kereta bersama keluarga.
“Hasil pemantauan mendapati 30 buah rumah kediaman mengalami kerosakan bahagian bumbung melibatkan atap zink tercabut diterbangkan angin sejauh 20 meter dan selebihnya beberapa buah kereta yang diparkir mengalami kerosakan,” katanya.-UTUSAN.