KLANG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima pelantikan Asisten Komisioner Ramli Kasa sebagai Ketua Polis daerah itu yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih jawatan itu dengan menggantikan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Majlis serah tugas yang berlangsung di Dewan Serbaguna Balai Polis Pandamaran di sini, itu disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Ramli yang juga bekas Penolong Pengarah Pendataan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman itu berikrar mahu memastikan indeks jenayah terus mencatatkan penurunan di Klang Selatan.
“Selain itu, saya memfokuskan untuk menjaga ketenteraman awam dan membina hubungan erat dengan komuniti masyarakat setempat. Saya juga akan bekerjasama dengan pegawai dan anggota menerusi pentadbiran sedia ada bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan indeks jenayah semasa,” katanya.
Sementara itu, Cha memberitahu, beliau melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin di IPD berkenaan sejak 18 November 2021.
“Pengalaman itu menjadikan diri saya positif dan cekal menempuh cabaran sekali menjadi prinsip utama dalam pasukan polis. Setiap kejayaan yang dikecapi itu hasil kerjasama berpasukan yang sentiasa bekerja keras dan memastikan daerah ini kekal sejahtera,” katanya.
Hussein pula dalam ucapannya menghargai jasa Hoong Fong yang menyumbang bakti di Selangor terutama di daerah yang mempunyai pelabuhan utama negara ini.
“Sepanjang lebih tiga tahun itu, beliau menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan menjalin hubungan erat dengan masyarakat.
“Antara kejayaan IPD itu melibatkan usaha pencegahan jenayah yang menggunakan dron, membina dewan komuniti dan membaik pulih prasarana sedia ada,” ujarnya. – UTUSAN