JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan melancarkan Livery Kereta Johor Motorsports Racing (JMR) serta barisan pelumba bagi menghadapi Musim GT3 2025 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, di sini sebentar tadi.
Berangkat sama, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail serta anakanda dan cucunda baginda.
Pada majlis itu, pasukan JMR memperkenalkan Corvette Z06 GT3.R generasi kelapan dengan livery berwarna biru dan perak yang menjadi identiti pasukan.
Pelumba pasukan JMR dibarisi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta Alexander Sims dari England dan Jordan Love dari Australia.
Tunku Abdul Rahman berkata, JMR merupakan pasukan tunggal dari Asia yang akan berlumba dengan menggunakan jentera Corvette pada musim ini.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Chevrolet untuk mencontohi kejayaan mereka di peringkat antarabangsa dalam benua kita sendiri. Kami telah bersedia dengan perancangan jangka panjang,” katanya.
Pengurus Pasukan JMR, Andrew Simpson memberitahu, pihaknya berazam meneruskan rekod kecemerlangan yang dilakar sejak tujuh tahun lalu.
“Pasukan JMR tidak sabar untuk membuat penampilan sulung di Litar Sepang pada 10 April ini. Sejak saya terlibat dalam pasukan pada 2018, saya telah melihat peningkatan pencapaian Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar sehingga mampu mencabar kedudukan podium.
“Beberapa siri ujian telah dibuat sebagai persiapan, kami jangka akan ada keputusan positif dicapai menggunakan kenderaan Corvette ini,” katanya.
Dari tahun 1999 hingga 2023, Corvette Racing telah mencatat 127 kemenangan perlumbaan termasuk sembilan kemenangan di 24 Hours of Le Mans serta empat kemenangan di Rolex 24 Daytona.
Pasukan itu telah 14 gelaran pengeluar, 15 kejuaraan pelumba serta 16 gelaran pasukan dan tiada pasukan lain dalam sejarah International Motor Sports Association (IMSA) yang memenangi lebih banyak perlumbaan atau kejuaraan dalam tempoh itu. – UTUSAN