Putrajaya sudah beri RM1 bilion, Kedah dakwa ‘hilang’ RM1.7 bilion

Putrajaya sudah beri RM1 bilion, Kedah dakwa ‘hilang’ RM1.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu insentif khas bagi mengekalkan Jelapang Padi di Kedah terus menimbulkan pertikaian di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Kedah.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor kelmarin bahawa Kedah akan terus menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi sekali gus menjamin bekalan beras negara.

Dalam reaksinya, Perdana Menteri, Datuk Seri An­war Ibrahim mengulangi bahawa kerajaan sudah meluluskan RM1 bi­lion untuk bantu sektor padi di Kedah.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tersebut diberi secara berterusan termasuk sebagai insentif khas untuk negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi bagi menjamin bekalan beras negara.

“Kita sudah beri RM1 bilion secara berterusan,” katanya ringkas ketika ditemui pembe­rita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini semalam.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi ketika ditemui Utusan Malaysia di Alor Setar, Kedah, semalam memaklumkan, ne­geri itu kehilangan kira-kira RM1.7 bilion setahun cukai berstatus komersial disebabkan kira-kira 220,000 hektar tanah di negeri ini masih dikekalkan untuk penanaman padi sejak puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, secara rasional pengorbanan besar itu sepatutnya dihargai oleh kerajaan Persekutuan dengan memberi insentif khas yang hanya berjumlah RM200 juta setahun.

Menurut beliau, keluas­an 220,000 hektar itu hanya membe­rikan pulangan RM2.6 juta se­tahun untuk kutipan cukai ta­nah pertanian berbanding pen­dapatan sama yang hanya me­merlukan keluasan 10 hektar sekiranya tanah itu berstatus industri.

“Tanah bersyarat padi pa­ling rendah nilai cukai tanah iaitu hanya RM2.6 juta untuk keluasan 220,000 hektar. Kalau diubah keseluruhan tanah padi itu kepada komersial, Kedah boleh dapat RM1.7 bilion cukai tanah setahun.

“Itu kehilangan kita tanggung selama berpuluh tahun, pengorbanan ini disebabkan kita tanggung kos melepas. Ini kiraan ringkas yang rasional saya hurai untuk Kerajaan Persekutuan fahami mengapa kita terus minta RM200 juta tanpa henti,” katanya.

Kelmarin semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah menolak cadangan yang dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) iaitu bayaran sebanyak RM41 juta setahun melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

Katanya, jumlah itu dilihat terlalu rendah berbanding kehilangan hasil yang Kedah korbankan untuk mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan untuk sumber bekalan air.

Tambahnya, Kedah akan terus berusaha menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu.

Pada 4 Februari lalu, Anwar mengumumkan kerajaan meluluskan RM1 bilion untuk disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai insentif untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM5.376 bilion bagi meningkatkan produktiviti hasil padi negara termasuk membangunkan infrastruktur menyokong penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di Kawasan MADA.

Projek itu akan dibangunkan secara berfasa dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion bermula tahun ini, seperti yang diumumkan pada Belanjawan Madani tahun lalu.

Antara cadangan utama bagi pembangunan projek itu ialah membangunkan prasarana pe­ngairan, termasuk menaik taraf sistem tali air dan Empangan Pedu yang mempunyai kepen­tingan besar.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya