PSKL 2040 formula untuk atasi masalah di Lembah Klang

PSKL 2040 formula untuk atasi masalah di Lembah Klang

lembah klang
PENDUDUK Lembah Klang bakal meningkat kepada 10 juta orang menjelang 2030. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) perlu dilaksanakan se­gera kerana ia penyelesaian kepada pelbagai masalah yang membelenggu pembangunan di Lembah Klang seperti kepadatan penduduk, kemudahan asas dan pelbagai isu lain.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, kelewatan dalam mewartakan pelan tersebut bo­leh mengundang implikasi buruk terhadap pe­ngurusan ban­dar, termasuk kesesakan dan tekanan terhadap kemudahan awam.

“Pembangunan bandar ra­­ya seperti Kuala Lumpur harus berpaksikan plot ratio dan keupayaan sesebuah kawasan menampung kepadatan penduduk. PSKL 2040 telah dirangka dengan mengambil kira kawasan mana yang sesuai dibangunkan dan mana yang perlu dikekalkan sebagai zon hijau atau rendah kepadatan.

“Kita tidak boleh himpunkan semua pembangunan perumahan, komersial dan infrastruktur dalam satu kawasan tanpa perancangan. Ini akan menambah kesesakan dan tekanan terhadap kemudahan sedia ada. PSKL 2040 perlu diwartakan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai penduduk di Lembah Klang bakal berdepan dengan tekanan terutamanya membabitkan sistem kemudahan dan perkhidmatan asas susulan jangkaan peningkatan populasi yang menghampiri 10 juta orang menje­lang tahun 2030.

Masalah itu sudah jelas terlihat pada masa ini apabila projek-projek perumahan khususnya bertingkat gagal mengambil kira keseimbangan se­perti infrastruktur dan keperluan ruang hijau terus terpinggir yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental penduduk.

Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali yang memberi amaran mengenai lonjakan dua juta penduduk di Lembah Klang dalam masa kurang dua dekad dan keper­luan kerajaan untuk bertindak segera menangani kesesakan dan ketidakseimbangan perancangan bandar.

PSKL 2040 merupakan komponen utama dalam Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040, menetapkan visi, matlamat dan strategi bagi pembangunan ibu kota selama dua dekad akan datang. Ia turut merangkumi integrasi penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, perumahan mampu milik, kemudahan awam, pekerjaan, serta penjagaan alam sekitar dan ruang hijau.

Bagaimanapun, pewartaan PSKL 2040 ditangguhkan pada tahun lalu bagi memberi ruang kepada proses libat urus dan maklum balas pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Ahmad Phesal menyarankan agar kerajaan memulakan perancangan jangka panjang dengan me­ngenal pasti kawasan alternatif di luar Lembah Klang bagi pengembangan pembangunan dan aktiviti ekonomi.

“Kalau kita terus tumpu pembangunan di Lembah Klang, sampai satu tahap, infrastruktur yang ada tidak akan mampu menampung pertambahan populasi dan tekanan terhadap sistem bandar akan meningkat.

“Kita perlu melihat pemba­ngunan secara menyeluruh de­ngan mengembangkan pusat-pusat pertumbuhan baharu di kawasan lain yang berpotensi, sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung Kuala Lumpur hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya