Perkenal sidang DUN Belia, bangunkan kepemimpinan generasi muda - Mohd Ridzuan - Utusan Malaysia

Perkenal sidang DUN Belia, bangunkan kepemimpinan generasi muda – Mohd Ridzuan

Mohd Ridzuan Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia wajar diperkenalkan di negeri sebagai salah satu langkah membangunkan kepimpinan generasi muda di Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim berkata, cadangan itu bagi memberi peluang kepada golongan belia mempunyai platfom untuk bersuara.

Katanya, sidang DUN Belia akan memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan idea selain dapat membangunkan kepimpinan belia yang akan memimpin suatu hari nanti.

“Di sini saya ingin mencadangkan agar sidang DUN Belia diadakan pada pada masa hadapan,” katanya dalam sesi penggulungan sidang DUN Perlis di sini hari ini.

Beliau seterusnya menekankan bahawa pembangunan belia bersama bidang sukan dan sains, teknologi dan inovasi (STI), merupakan tiga elemen penting dalam membentuk generasi berdaya saing serta memacu kemajuan negeri secara holistik.

“Belia merupakan aset negara yang paling berharga dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan ruang, peluang dan sokongan yang berterusan agar mereka dapat berkembang dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan dan inovasi teknologi.

“Sukan pula adalah wahana perpaduan, disiplin dan kesihatan. Ia bukan sahaja melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menyatukan masyarakat dan membina semangat kenegaraan yang kukuh.

“Manakala dalam dunia yang sedang bergerak pantas ke arah Revolusi Industri 4.0, STI bukan lagi pilihan ia adalah keperluan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pentingnya kecekapan pentadbiran kerajaan dan penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar

“Kita tidak lagi boleh berpuas hati dengan prosedur yang panjang dan berbelit. Sebaliknya, kita mesti mengutamakan penyampaian perkhidmatan yang cepat, mesra dan berkesan.

“Saya ingin menekankan bahawa rakyat menilai kita bukan sahaja melalui dasar dan pelan pembangunan, tetapi juga melalui cara dan masa kita bertindak,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya