KANGAR: Ribuan orang membanjiri perkampungan nelayan Kuala Perlis bagi menyaksikan keindahan tujuh perkampungan di sini yang dihias indah serta kilauan cahaya yang menerangi seluruh perkampungan itu.
Kampung nelayan berkenaan dihias oleh penduduk yang bergotong-royong menceriakan kampung masing-masing bersempena majlis kilauan warna-warni 2025 di Dataran Pulau Ketam, Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.
Ia turut disekalikan dengan rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.
Lebih istimewa, majlis yang penuh gilang-gemilang itu diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan menyempurnakan simbolik penyediaan makanan tradisi oleh penduduk kampung tersebut iaitu dengan mengacau dodol bersama penduduk setempat.
Program berkenaan dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin dan sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82.
Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Budaya negeri berkata,program kilauan warna-warni itu mencerminkan nilai keterbukaan, perpaduan dan semangat kekeluargaan yang menjadi nadi kepada keharmonian rakyat di Perlis.
Katanya, ia juga merupakan salah satu platform yang amat bermakna dalam mempromosikan keunikan budaya dan hospitaliti rakyat Perlis kepada para pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.
“Program ini juga amat bermakna kepada semua umat Islam malahan ia juga amat bermakna bagi yang bukan beragama Islam. Ini kerana, ia merupakan peluang untuk rakyat kita yang pelbagai kaum, agama dan budaya dapat bersama-sama berkongsi keceriaan.
“Pelbagai program dan aktiviti telah diadakan antaranya pertandingan keceriaan kampung melibatkan tujuh buah kampung nelayan, penyediaan makanan tradisi dan pelbagai lagi selain persembahan artis terkenal,” katanya.-UTUSAN