Perdana Menteri pun ditegur, inikan pula Ketua Polis Kelantan-ADUN Melor

Perdana Menteri pun ditegur, inikan pula Ketua Polis Kelantan-ADUN Melor

WAN Rohimi Wan Daud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud mempertahankan tindakanya membuat teguran secara terbuka kepada Ketua Polis negeri berkaitan pendedahan penglibatan pempengaruh dan usahawan kosmetik menjadi ketua sindiket jual dadah serta sumbang mahram semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam.

Beliau berkata, Ketua Polis negeri sebagai penjawat mesti mempunyai disiplin data dan pendedahan yang dibuat itu mestilah lebih mendalam.

“Perdana Menteri pun kami tegur, takkan Ketua Polis negeri tidak boleh. Pendedahan melibatkan operasi besar-besaran, siapa yang ditangkap itu dibolehkan.

“Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah kenyataan yang diberikan ‘kosong’, tiada tangkapan sekadar memberikan bayangan. Kenyataan sebegitu boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Kelantan,” katanya semasa ditemui pemberita selepas persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga DUN Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Utusan Online sebelum itu melaporkan, UMNO Kelantan mengecam tuduhan Wan Rohimi mengaitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara berkaitan sumbangan mahram serta penyalahgunaan dadah bermotifkan politik.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata, beliau mencabar wakil rakyat Pas itu untuk mengulang tuduhan itu di luar daripada DUN Kelantan.

Mengulas lanjut, Wan Rohimi memberitahu, beliau meminta supaya Ahmad Jazlan tidak masuk campur dalam perkara tersebut.

“Jazlan ini duduk gua, bila dia tengok ada ruang untuk pelaga kita (saya) dengan polis maka sibuklah dia,” ujarnya.

Semalam, Wan Rohimi mempersoalkan pendedahan Ketua Polis Kelantan berkaitan penglibatan pempengaruh dan usahawan kosmetik menjadi ketua sindiket jual dadah.

Beliau juga mempersoal pendedahan berkait kes sumbang mahram dan rogol yang dibuat oleh Datuk Mohd. Yusoff Mamat itu.

Wan Rohimi berkata, kenyataan itu tidak mempunyai data dan fakta berkaitan dengan pendedahan tersebut serta seolah-olah disengajakan bagi menimbulkan persepsi bahawa Kelantan adalah negeri yang tidak selamat untuk didiami.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya