IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha bagi meningkatkan kutipan hasil negeri akan terus diterokai sementara perbelanjaan dikawal secara berhemah.
Titah baginda, beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri seperti pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023 dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023.
Sultan Nazrin bertitah, royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) juga dijangka memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan.
“Langkah memberi milik tanah-tanah kerajaan negeri di tapak hidro dan bangunan Tenaga Nasional Berhad sedia ada, akan memberi nilai tambah kepada hasil negeri.
“Premium tambahan juga bakal diperoleh melalui projek-projek pembangunan dan pemajuan tanah perindustrian dan perumahan berimpak tinggi,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di sini semalam.
Baginda bertitah, di peringkat negeri, kutipan hasil pada tahun 2024 merekodkan angka melebihi sasaran mencecah RM1.3 bilion, meningkat RM118.5 juta berbanding kutipan hasil pada 2023.
“Kerajaan Beta, untuk tiga tahun berturut-turut, berjaya menutup Akaun Hasil Disatukan dengan kedudukan surplus, mencatatkan surplus (sebelum diaudit) RM45.6 juta pada 31 Disember 2024,” titahnya.
Baginda bertitah, pelbagai inisiatif dirintis untuk mempercepatkan kelulusan projek berimpak tinggi dengan inisiatif yang diperkenalkan berjaya meningkatkan keyakinan pelabur.
Titahnya, pada tahun 2024, nilai pelaburan yang diperoleh berjumlah RM8.7 bilion meningkat 2.7 peratus berbanding tahun 2023 dengan diunjurkan lebih empat ribu (4,279) pekerjaan baharu bakal diwujudkan.
Baginda bertitah, pasaran buruh mencatat prestasi positif apabila kadar pengangguran di Perak turun daripada 3.3 peratus pada tahun 2023 kepada 3.1 peratus pada suku tahun ketiga 2024.
“Penyertaan tenaga buruh menunjukkan peningkatan seramai 1.11 juta orang penduduk bekerja, berbanding 1.093 juta orang pada tahun 2023,” titah baginda.-
Prestasi Kewangan Negeri Perak:
» Kutipan hasil 2024: RM1.33 bilion (lebih RM118.5 juta berbanding 2023).
» Tiga tahun berturut-turut catat lebihan (surplus); 2024: RM45.62 juta.
Sumber Hasil Baharu:
» Enakmen Sumber Air Perak 2023 & Enakmen Hotel 2023 (Caj Perkhidmatan Tempatan).
» Royalti perlombongan NR-REE dijangka beri sumbangan besar.
» Nilai tambah hasil: Milik tanah TNB, projek pembangunan tanah industri & perumahan.
Inisiatif Ekonomi:
» Hala Tuju Ekonomi Biru untuk pembangunan sektor marin secara mampan.
» Fokus kepada sains, teknologi, inovasi & pemuliharaan marin.
Pelaburan & Pasaran Buruh:
» Pelaburan 2024: RM8.74 bilion (naik 2.7% dari 2023); lebih 4,000 pekerjaan bakal diwujudkan.
» Pengangguran turun ke 3.1% (suku ketiga 2024).
» Penduduk bekerja: 1.11 juta (2024), naik dari 1.09 juta (2023).
Kesejahteraan Rakyat:
» Program: Padanan kerja, bantuan perniagaan, latihan kemahiran, baik pulih rumah.
» Program Pusat Sehenti Sejahtera Sosial melibatkan lebih 30 agensi.
» 8,986 ketua isi rumah bebas daripada kategori miskin tegar bagi tahun 2024.-UTUSAN.