SUBANG JAYA: Mangsa dari dua kawasan terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini baru-baru ini kini trauma dan mengakui sukar untuk kembali tinggal di kawasan sama selepas ini.
Bagi penduduk yang rumah mereka teruk terjejas, peristiwa kebakaran itu bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda malah meninggalkan kesan emosi yang cukup mendalam buat mereka.
Seorang mangsa dari Taman Putra Harmoni, Muhammad Azrul Haqimi, 25, berkata, keadaan mental dia dan ahli keluarganya masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan insiden berkenaan yang berlaku secara tiba-tiba.
“Kejadian itu masih bermain dalam fikiran saya setiap hari. Kalau diberi pilihan, saya tidak mahu lagi tinggal di sini. Saya tidak sanggup terkenang semula saat-saat cemas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, ketika kejadian berlaku, dia sedang berada di rumah bersama ahli keluarga untuk mengemas barang sebelum pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
“Kami rancang untuk beraya di kampung selepas menyambut hari raya pertama di sini. Tengah kemas-kemas barang, tiba-tiba terdengar satu letupan yang sangat kuat. Rumah terus bertukar jadi warna merah, rasa sangat panas.
“Waktu itu memang tidak sempat fikir apa-apa. Kami terus lari keluar rumah sehelai sepinggang. Hanya fikir nak selamatkan nyawa,” katanya.
Menurutnya, rumah didiaminya mengalami kerosakan pada bahagian dinding, bumbung serta perabot dan mereka kini mendapatkan perlindungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights di sini.
Penduduk dari Kampung Kuala Sungai Baru di sini, Shahrulnizam Ahmad, 46, pula meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan menyediakan laporan terperinci agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Kami mahu jaminan keselamatan. Jangan tunggu sampai ada nyawa melayang baru mahu ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, kesan trauma susulan kejadian kebakaran besar berkenaan turut menyebabkan mangsa dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mahu menangguhkan kepulangan mereka ke kampus.
Mereka dikatakan belum bersedia untuk pulang ke kampus kerana ingin membantu keluarga mendepani situasi sukar tersebut.
Muhammad Naim Haqimi Fazli Hisham, 21, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Kelantan berkata, dia memang masih trauma dan terkenang tragedi yang berlaku kerana ketika kejadian dia berada di rumah.
“Ketika itu, saya sedang mengemas pakaian untuk pulang beraya, tiba-tiba ada satu letupan kuat dan bilik dipenuhi dengan pancaran cahaya terang berwarna merah dan sangat panas.
“Kemudian saya mendengar ayah menjerit untuk lari keluar rumah selamatkan diri,” katanya.
Menurut Muhammad Naim, dia bersama ahli keluarga lari menyelamatkan diri sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang peralatan untuk kuliah seperti komputer riba dan buku-buku.
“Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat menyambung kuliah pada esok hari (hari ini) dan saya juga masih belum dapat memastikan keadaan rumah bagaimana.
“Semua barang-barang tinggal dalam rumah. Saya masih terbayang-bayang bunyi letupan dan suasana waktu itu,” katanya yang memberitahu telah memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti yang sudah mengambil maklum kejadian menimpanya malah turut tampil memberikan bantuan.-UTUSAN.