PETALING JAYA: Penduduk di Lembah Klang bakal berdepan dengan tekanan terutamanya membabitkan sistem kemudahan dan perkhidmatan asas susulan jangkaan peningkatan populasi yang menghampiri 10 juta orang menjelang tahun 2030.
Tekanan termasuk yang berkaitan antara aspek perumahan, jalan raya, pendidikan, kemudahan kesihatan, bekalan air dan sitem pembetungan.
Masalah itu sudah jelas terlihat pada masa ini apabila projek-projek perumahan khususnya bertingkat gagal mengambil kira keseimbangan seperti infrastruktur dan keperluan ruang hijau terus terpinggir yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mental penduduk.
Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Razali berkata, lonjakan dua juta penduduk dalam masa kurang dua dekad di Lembah Klang itu sewajarnya perlu diberikan perhatian kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Lonjakan dua juta penduduk dalam masa kurang sedekad memberi tekanan besar kepada sistem sedia ada, terutama daripada aspek jalan raya, bekalan air, pembetungan, sekolah, hospital serta perkhidmatan asas lain.
“Kesesakan lalu lintas di kawasan seperti Subang Jaya, Puchong dan Cheras sudah menjadi isu harian. Tanpa peningkatan infrastruktur secara serentak, ia hanya akan memburukkan keadaan.
“Apabila terlalu banyak projek dibina tanpa mengambil kira keseimbangan ekologi, penduduk akan kehilangan kawasan rekreasi, menghadapi pencemaran udara dan tekanan mental akibat persekitaran yang sesak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Populasi penduduk di bandar yang dirujuk sebagai populasi metro merupakan jumlah penduduk yang tinggal di kawasan metropolitan iaitu gabungan bandar utama dengan kawasan sekitar yang mempunyai hubungan ekonomi, sosial dan infrastruktur.
Kawasan ini biasanya merangkumi pelbagai bandar utama, bidang kuasa dan perbandaran seperti kejiranan, bandar kecil, daerah, dan sebagainya.
Populasi di ibu negara kini dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan kadar peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa tahun lalu dilaporkan berkata, jumlah penduduk itu dijangka terus meningkat dan mencecah 9.8 juta orang menjelang tahun 2030.
Pembangunan pesat ini katanya, menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih proaktif dalam merancang serta menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang mampan.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan, Prakash P. Kalivanan berkata, trend pembangunan pesat kondominium dan pangsapuri tinggi di kawasan bandar utama turut menunjukkan pola pembangunan yang tidak seimbang dan kurang terancang.
Katanya, pertambahan unit kediaman yang tidak dikawal boleh menyebabkan pelbagai masalah infrastruktur seperti jalan yang sesak, sistem saliran tidak mencukupi dan risiko banjir kilat.
“Kita lihat sekarang, mana-mana kawasan yang ada tanah kosong sedikit pun sudah mula dibangunkan dengan projek kondominium. Persoalannya, apakah kriteria yang digunakan oleh pihak berkuasa atau jabatan perancang untuk meluluskan pembangunan tersebut?
“Kawasan yang sebelum ini hanya boleh tampung 5,000 penduduk, tiba-tiba muncul tiga buah kondominium dengan setiap satu menampung seribu hingga dua ribu penghuni. Ini memberi tekanan besar kepada jalan raya dan sistem parit sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan yang terlalu padat juga memberi kesan kepada sistem kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
“Hospital sukar menampung jumlah pesakit, sekolah tidak mencukupi dan balai bomba pula terlalu jauh dari kawasan perumahan baharu. Ia menunjukkan pembangunan yang berlaku tidak seiring dengan kemudahan asas,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan ketelusan PBT dalam mempertimbangkan keperluan sebenar komuniti sebelum meluluskan sesuatu projek.
“Walaupun ada bantahan komuniti, projek tetap diluluskan. Sepatutnya PBT menilai sama ada sesuatu kawasan benar-benar memerlukan projek perumahan atau tidak, dan bukan semata-mata memenuhi kehendak pemaju,” katanya.-UTUSAN.