PUTRAJAYA: Permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta akan didengar pada 22 Mei ini.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Perdaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Nadia Azman pada prosiding pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How ketika dihubungi media.
Beliau turut memaklumkan bahawa mahkamah memerintahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan masing-masing, sebulan sebelum pendengaran tersebut.
Mahkamah turut menetapkan 8 Mei ini untuk pengurusan kes lanjutan.
Pada 9 April lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan prosiding perbicaraan peringkat bela diri pasangan itu yang sepatutnya bermula pada tarikh sama ditangguhkan sehingga semakan tersebut diputuskan.
Pada 18 November 2024, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar, 66, dan isterinya, Zizie Izette, 47, untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pendakwaan memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 September 2023 yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada kesemua pertuduhan itu.
Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob telah memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.-UTUSAN.