KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengadakan pertemuan bersama beberapa pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu binaan struktur kafe di Gua Cenderawasih yang mendapat kritikan sebelum ini.
Pertemuan tersebut membawa hasil yang cukup positif yang memberi ruang semua pihak memberi pandangan sekali gus menyelesaikan segala perkara berbangkit.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil pendekatan positif membincangkan isu itu bersama pihak terlibat dalam mencapai persefahaman khususnya bagi memastikan ekosistem di lokasi geotapak itu terpelihara.
Menurutnya, MPK sentiasa melihat ruang dan peluang dalam menambah baik sebarang pelaksanaan dilakukan di setiap kawasan seliaan mereka.
“Kehadiran NGO hari ini membuka peluang buat kita untuk wujudkan keadaan yang lebih cantik dan elok khususnya dalam menarik pelancong sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs),” katanya selepas pertemuan itu di Ibu Pejabat MPK, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak tampil mengkritik kerja-kerja pembinaan kafe di kawasan itu yang disifatkan boleh memusnahkan biodiversiti terdapat di gua tersebut.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, struktur didirikan gua itu juga adalah merupakan binaan sementara dan ia boleh dirobohkan pada bila-bila masa.
“Binaan struktur sementara itu juga adalah di bahagian luar gua dan tidak merosakkan ekosistem sedia ada. MPK juga menetapkan syarat kepada pengusaha kafe di mana mereka tidak dibenarkan memasak di dalam gua dan hanya boleh untuk penyediaan minuman,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi berkata, MPK memberi kelulusan bagi pengoperasian kafe di kawasan itu berikutan lokasi berkenaan sebelum ini sering terpalit dengan budaya negatif antaranya seperti vandalisme, pembuangan najis dan pelbagai lagi.
Ujarnya, kewujudan kafe di kawasan itu dilihat dapat membantu bagi menyelesaikan isu-isu berkenaan sekali gus menjadi antara tarikan pelancong ke negeri ini.
“Selain dapat menarik pelancong ke kafe ini, kita juga boleh sama-sama dedahkan masyarakat dengan peninggalan sejarah kerana saya difahamkan kawasan ini mempunyai banyak fosil-fosil berusia ratusan juta tahun selain membantu mempromosikan kawasan geotapak itu,” katanya.-UTUSAN