Pencerobohan tanah kerajaan: Ambil tindakan tegas tanpa kompromi - Jasri - Utusan Malaysia

Pencerobohan tanah kerajaan: Ambil tindakan tegas tanpa kompromi – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam pencerobohan tanah kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, seperti didedahkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah baginda pada 18 April lalu, 14,494.9 hektar tanah milik kerajaan dan 5,997.09 hektar Hutan Simpan Kekal diceroboh dan diusahakan secara haram.

“Pencerobohan ini bukan sahaja merugikan negeri daripada segi hasil, tetapi juga mencemarkan integriti pentadbiran dan kedaulatan undang-undang. Tindakan undang-undang mesti diambil tanpa pilih kasih, termasuk terhadap individu berkepentingan dan berpengaruh politik.

“Undang-undang tidak mengenal pangkat ataupun kedudukan, keadilan mesti ditegakkan secara saksama,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jasri berkata, beliau turut menuntut agar siasatan yang bebas dan menyeluruh dilaksanakan segera, dikendalikan oleh badan berkecuali ataupun diselia oleh Jawatankuasa Bebas Khas.

Menurutnya, tindakan sedemikian penting untuk memastikan ketelusan dan juga bagi mengelakkan sebarang konflik berkepentingan.

“Ia selari cadangan kami sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pelaksanaan audit forensik bagi menyiasat isu pencerobohan tanah kerajaan serta hutan simpan kekal di negeri ini.

“Jawatankuasa khas ini yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan untuk menangani isu pencerobohan tanah secara holistik.

“Sebarang kelewatan atau keengganan untuk melaksanakan siasatan bebas akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan dan memberi isyarat yang salah bahawa pencerobohan boleh diterima,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, titah Sultan Pahang pada 27 Mac 2023, yang menyeru agar semua ADUN menerima peruntukan secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang politik, mesti dilaksanakan segera.

“Menafikan peruntukan ini bukan sahaja mengkhianati amanah rakyat malah merupakan satu ketidakpatuhan kepada institusi raja yang telah bertitah secara jelas dan terbuka.

“Dalam konteks ini, adalah penting untuk kita menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan dan memastikan bahawa semua wakil rakyat diberi peluang yang adil untuk membangunkan kawasan masing-masing demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan agensi penguatkuasaan, untuk bertindak dengan tegas, adil, dan telus dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

“Kita mesti bersama-sama menegakkan kedaulatan undang-undang, memelihara integriti institusi, dan menghormati titah raja demi kesejahteraan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN