PETALING JAYA: Operasi pencarian terbaharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang diumumkan sebulan lalu terpaksa ditangguhkan hingga hujung tahun ini .
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pencarian itu diberhentikan sementra waktu kerana faktor cuaca yang tidak sesuai.
“Operasi ini dihentikan buat sementara waktu dan mereka akan menyambung semula pencarian pada akhir tahun ini.
“Sekarang cuaca tidak sesuai,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Pada Mac lalu, Anthony Loke, memaklumkan jemaah menteri bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian syarikat Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.
Operasi pencarian dasar laut itu melibatkan kapal tercanggih daripada segi teknikal, yang akan meneroka kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Februari lalu, pencarian MH370, kembali diteruskan di Lautan Hindi dalam usaha yang dijangka menjadi percubaan terakhir bagi merungkai misteri kehilangannya sejak 11 tahun lalu.
Kapal sokongan laut dalam milik Ocean Infinity, yang berpangkalan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Armada 7806, tiba di zon pencarian baharu kira-kira 1,500 kilometer (km) dari pantai Perth pada hujung minggu lalu, lapor media Australia dan Britain.
Sebelum ini, akhbar British, The Telegraph, melaporkan kenderaan bawah air autonomi dikerahkan dari kapal dalam beberapa jam selepas ketibaannya dan mula menjalankan imbasan terperinci dasar laut.
Armada itu akan menjalankan pencarian di kawasan seluas 15,000 km persegi selama enam minggu dengan memberi tumpuan kepada empat ‘titik panas’ yang dikatakan oleh beberapa penyelidik sebagai lokasi kemungkinan bangkai pesawat Boeing 777, menurut laporan 9News Australia.
Pencarian dijangka menjadi rumit disebabkan oleh topografi dasar lautan dan keadaan cuaca.
Disember tahun lalu, Ocean Infinity diberi tanggungjawab untuk menyambung semula pencarian bawah laut bagi mengesan bangkai pesawat itu.
Kontrak itu berdasarkan prinsip ‘tiada penemuan, tiada bayaran’ bermakna kerajaan tidak akan membayar sebarang kos jika bangkai pesawat tidak ditemukan.
Namun, sekiranya penemuan bangkai pesawat berjaya ditemukan, Ocean Infinity menuntut bayaran sebanyak AS$70 juta (RM308 juta), jumlah sama seperti dicadangkan pada 2018.
MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Selepas kehilangan itu, Malaysia, China dan Australia menjalankan usaha pencarian bersama di kawasan seluas 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi.
Sebelum ini, Ocean Infinity pernah menjalankan pencarian di kawasan lebih kecil seluas 25,000 km persegi di selatan Lautan Hindi pada Januari 2018, sebelum berakhir pada Jun tahun sama tanpa sebarang hasil.-UTUSAN.