PUTRAJAYA: Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 merekodkan keputusan terbaik dalam tempoh 11 tahun lalu iaitu sejak diperkenalkan syarat pensijilan wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah pada tahun 2013.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, nilai gred purata keseluruhan (GPK) pada 2024 merekodkan pada 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023 yang mengecil sebanyak 0.11 mata.
Katanya, sejumlah 14,179 calon SPM 2024 memperoleh keputusan cemerlang semua A iaitu A+, A- meningkat 2,466 calon berbanding 11,713 calon pada 2023.
“Calon yang memperoleh keputusan lulus sekurang-kurangnya gred E juga meningkat kepada 136,791 calon berbanding 131,489 (2023).
“Pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.47 mata bandar dan 4.92 luar bandar pada 2024 dengan perbezaan jurang 0.45 mata,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 di sini hari ini. – UTUSAN