PETALING JAYA: Penyandang jawatan Naib Presiden PKR berada dalam posisi ‘tidak selamat’ berikutan pencabarnya mempunyai pengaruh kuat dalam pemilihan parti bermula April ini.
Penganalisis politik Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hasan berkata, keadaan itu memberikan gambaran persaingan sengit bakal berlaku dengan meletakkan beberapa pemimpin yang mempunyai jawatan dalam Kabinet khususnya menjadi pilihan perwakilan.
Bagaimanapun katanya, ia selaras dengan semangat demokrasi yang diperjuangkan PKR dengan memberi laluan kepada mana-mana ahli parti untuk bertanding dalam apa jua jawatan yang dipertandingkan.
“Jawatan Presiden dan Timbalan mungkin tidak dipertandingkan maka jawatan Naib Presiden menjadi fokus kali ini.
“Oleh itu ramai menawarkan diri termasuk empat penyandang, kalau diikutkan penyandang ada peluang besar untuk menang, namun jika pencabarnya ada Datuk Fahmi Fadzil dan Nurul Izzah, ia tidak mudah kepada penyandang untuk menang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.