KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dirasai oleh semua rakyat atas jasanya ketika pemerintahan beliau.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara kehilangan anak watan yang mempunyai semangat tinggi terhadap negara.
“Negara kehilangan seorang anak watan yang mempunyai semangat yang tinggi semasa beliau menjadi pemimpin kita.
“Jadi seluruh negara merasakan kehilangan Allahyarham walaupun di saat akhir, kehidupannya tidak beberapa sihat.
“Tetapi pemergian Allahyarham akan dirasai oleh semua di atas jasa-jasa beliau kepada tanah air. Sama sama kita doakan agar roh ditempatkan dikalangan orang beriman,” katanya ketika ditemui di Institut Jantung Negara (IJN), malam ini.
Allahyarham Tun Abdullah mengalami masalah pernafasan sebelum meninggal dunia pada 7.10 petang ini.
Doktor yang bertanggungjawab merawat arwah di IJN, Dr. Azmee Ghazali berkata, arwah dimasukkan ke wad pada pukul 1 pagi hari ini akibat masalah pernafasan itu.
“Arwah dimasukkan ke dalam hospital kerana mengalamni masalah sesak nafas pada pukul 1 pagi sehingga 7.10 malam ini.
“Masalah utama adalah disebabkan masalah sesak nafas. Kami dah buat segalanya serta memberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, dengan bantuan yang kami lakukan, Tun tidak dapat diselamatkan.
“Selain itu, salah satu dari faktor pemergian arwah adalah faktor usia. Faktor usia memainkan peranan yang besar dalam hal ini,” katanya.-UTUSAN.