Pelajar dibuli di Bera, polis tunggu perintah untuk siasatan - Utusan Malaysia

Pelajar dibuli di Bera, polis tunggu perintah untuk siasatan

YAHAYA Othman (tengah) ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan. - FOTO/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis sedang menunggu perintah untuk siasatan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil berhubung kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah berasrama penuh di Bera, dekat sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, prosedur itu perlu dilakukan memandangkan kes terbabit melibatkan remaja bawah umur berusia 14 tahun.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kita akan mendapatkan perintah ‘order to investigation’ dahulu sebelum menyiasat tapi kita telah mengenalpasti beberapa suspek,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada 13 April lalu daripada bapa mangsa dan siasatan awal mendapati insiden berlaku semasa pelajar tingkatan satu hingga tiga dipanggil menghadiri ‘roll call’ iaitu pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).

Bagaimanapun, lima pelajar senior tingkatan empat dan lima dipercayai mengambil alih sesi berkenaan dan bertindak membuli mangsa dengan memaksanya menari selain turut mencekiknya di bahagian leher kerana kesalahan memotong rambut tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Dalam perkembangan kes Musang King di Raub pula, Yahaya memaklumkan bahawa beberapa individu lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub, baru-baru ini.

“Bagi kes di Raub, kita masih melengkapkan siasatan untuk dikemukakan kepada pihak pendakwa,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kelmarin bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN