KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi mengalami masalah pernafasan sebelum meninggal dunia pada pukul 7.10 petang ini.
Doktor yang bertanggungjawab merawat arwah di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Azmee Ghazali berkata, bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke wad pada pukul 1 pagi hari ini akibat masalah pernafasan itu.
“Arwah dimasukkan ke dalam hospital kerana mengalami masalah sesak nafas pada pukul 1 pagi sehingga 7.10 petang ini.
“Masalah utama adalah disebabkan sesak nafas. Kami dah buat segalanya serta memberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, dengan bantuan yang kami buat Tun tidak dapat diselamatkan.
“Selain itu, salah satu dari faktor pemergian arwah adalah faktor usia. Faktor usia memainkan peranan yang besar dalam hal ini,” katanya pada sidang akhbar di IJN malam ini.
Dalam perkembangan lain, menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin berkata, jenazah akan dibawa ke rumah keluarga di Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan esok.
“Esok pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Negara. Kemudian pada pukul 11 pagi hingga 1 petang jenazah akan diletakkan di dewan solat utama masjid untuk penghormatan terakhir diberi oleh orang awam.
“Sesiapa yang ingin memberi penghormatan akhir boleh hadir dan untuk mereka yang bukan muslim, kita minta untuk mereka datang dengan pakaian yang sesuai,” katanya.-UTUSAN.