PETALING JAYA: Saman atau denda adalah bentuk mekanisme yang boleh digunakan untuk memberi kesedaran kepada pemandu mengenai kepentingan mematuhi undang-undang di jalan raya.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nordiana Mashros berkata, keberkesanannya sangat bergantung kepada beberapa faktor lain, termasuk pendidikan keselamatan, kesedaran awam dan pembaikan infrastruktur jalan raya.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang jalan raya sememangnya memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelanggaran peraturan, tetapi ia bukan satu-satunya langkah yang diperlukan untuk mencegah kemalangan.
“Sebagai contoh, kempen pengurangan kelajuan dan pemasangan kamera had laju di United Kingdom berjaya mengurangkan kadar kemalangan.
“Negara kita juga mempraktikkan kaedah sama, cuma statistik kemalangan di kawasan sebelum dan selepas pemasangan kamera had laju perlu didedahkan bagi melihat keberkesanannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam mengenai kerugian hingga RM20 bilion setahun dicatatkan negara akibat nahas jalan raya yang mengakibatkan lebih 6,000 kematian pada 2023.
Bagi mengurangkan kemalangan maut di jalan raya, Nordiana berkata, pelbagai langkah proaktif perlu dilaksanakan termasuk tindakan tegas terhadap pemandu yang cuai yang terlibat dalam kemalangan maut.
“Ini termasuk penggantungan lesen memandu serta hukuman yang lebih berat untuk kesalahan serius.
“Selain itu, pihak berkuasa perlu memperbanyakkan pemeriksaan dan pengawasan secara rawak di jalan raya, memperbaiki keadaan infrastruktur jalan raya seperti pembaikan jalan yang rosak tetapi saya lihat semua usaha itu masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kemalangan jalan raya setakat ini,’’ katanya.-UTUSAN.