TAPAH: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd. Muhaimin Malek, 44, berazam untuk mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat.
Pengerusi PN Parlimen Tapah dan Yang Dipertua Pas Tapah itu juga berkata, menjelang PRK pada 26 April itu, beliau berazam untuk menyantuni semua 31,897 pemilih dan menziarahi setiap rumah sepanjang tempoh kempen.
“Saya mempunyai perancangan strategik sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat untuk imbangi pembangunan fizikal dan rohani di Ayer Kuning secara tersusun.
“Sebagai contoh di Tapah Road yang mempunyai akses untuk laluan kereta api dan berdekatan dengan pusat pelancongan Cameron Highlands saya berharap kekerapan tren ETS di Stesen KTMB di situ untuk menggamit lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat sekitar untuk menambah pendapatan menerusi perkhidmatan e-hailing, kedai runcit, restoran dan hotel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya, program-program motivasi dan kemasyarakatan melibatkan semua golongan terutamanya orang muda akan diwujudkan untuk kesejahteraan rakyat Ayer Kuning.
“Memang sekiranya terpilih tidak akan menjejaskan kerajaan negeri Perak sekarang namun setiap ADUN pembangkang di negeri ini telah berperanan dengan aktif menjadi perantara atau orang tengah membantu menyelesaikan masalah bersifat lokal,” katanya.
Abd. Muhaimin mewakili gabungan PN pada PRK DUN Ayer Kuning sementara Barisan Nasional (BN) diwakili Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, dan Bawani KS, 40, pula mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu hari ini, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.-UTUSAN.