Mangsa tidak sanggup tengok rumah sendiri

Mangsa tidak sanggup tengok rumah sendiri

PENDUDUK Kampung Kuala Sungai Baru mengambil barangan dan dokumen dari rumah mereka yang terjejas ekoran kebakaran saluran paip gas ketika tinjauan Utusan Malaysia semalam. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Mangsa kebakaran saluran paip gas dari Kampung Kuala Sungai Baru di sini yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights, dibenarkan pulang sementara bagi melihat keadaan kediaman masing-masing.

Seorang penduduk yang tinggal di Lot Enam kampung itu, Zurina Mohammad Isa, 49, berkata, dia menggunakan peluang itu bagi mencari barang-barang peribadi yang masih boleh diselamatkan.

Namun, menurut pekerja swasta, dia tidak sanggup untuk berada terlalu lama di kawasan yang teruk terjejas itu kerana mengenangkan rumahnya yang hancur musnah.

“Rumah saya hanya tinggal rangka dan struktur batu sahaja sebab bahagian papan sudah hangus terbakar. Bumbung juga sudah musnah.

“Sudah 23 tahun saya tinggal di sini, memang sebak dan menangis apabila melihat harta benda musnah termasuk sebuah kereta yang mencair di bahagian luar dan motosikal hanya tinggal rangka sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Penduduk kampung sama, Mohd. Sobry Nordin, 47, memberitahu, rumah setingkat miliknya berdekatan kawasan tebing yang menempatkan saluran paip gas itu tidak boleh didiami selepas disahkan oleh pihak berkuasa.

“Hari ini sudah kali ketiga saya dapat pulang ke rumah. Saya dapati sebahagian struktur kediaman sudah musnah dan separuh lagi masih elok.

“Namun, masalah besarnya adalah bumbung bocor akibat dihempap batu besar sehingga menyebabkan siling runtuh dan air tanah bertakung di dalam rumah,” luahnya.

Bagi penduduk Kampung Tengah, Mohd. Salihin Mohd. Sarbini, 56, dia bersyukur apabila dapat pulang semula ke kediamannya kerana tidak melibatkan kerosakan besar.

“Hanya bahagian cermin hadapan yang retak, struktur lain masih dalam keadaan baik selepas dibenarkan melihat keadaan rumah. Namun, saya belum membuat keputusan untuk pulang semula ke rumah kerana masih perlu menguruskan perkara lain,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya