BUKIT GANTANG: “Saya hanya mampu menangis ketakutan melihat ribut yang sangat kuat.”
Itu kata seorang wanita, Hayati Mohamad, 49, apabila melihat bumbung rumahnya dan jiran diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Pak Darus, di sini petang kelmarin
Hayati, yang tinggal bersama anak perempuannya dan bapanya yang uzur berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4 petang ketika mereka berada di dalam rumah.
Menurutnya, ketika itu dia baru bangun tidur dan hendak ke tandas, tiba-tiba terdengar deruan angin yang sangat kuat.
“Saya rasa sangat takut apabila melihat bumbung rumah emak saudara dan adik saya tercabut diterbangkan angin. Saya menangis sebab terlalu takut.
“Saya jerit pada abah jangan keluar rumah tetapi dia tetap hendak tengok apa yang berlaku. Saya takut sebab tiupan angin sangat kuat.
“Saya ingatkan rumah saya selamat, rupa-rupanya bumbung di bahagian dua bilik rumah kami juga diterbangkan angin. Air hujan masuk dalam rumah, tilam basah, barangbarang lain tidak rosak sangat, tetapi tetap terkena air hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi mangsa ribut, Rosnani Che Meh, 52, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja tersedar dari tidur di dalam bilik bersama cucunya.
Menurutnya, dia terjaga selepas mendengar deruan angin yang kencang dan bumbung rumahnya pula bergegar dengan kuat.-UTUSAN.