MERSING: Mayat lelaki warga India yang disyaki lemas ketika mandi-manda bersama dua rakannya di Pulau Mawar berjaya ditemukan petang tadi.
Mayat R. Narayanan, 45, ditemukan pada pukul 4.50 petang kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang dibawa arus.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Endau, Pegawai Bomba Kanan II Azman Yahya berkata, pihaknya menggunakan tali bagi menarik mangsa ke darat dan mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa bersama-sama dua lagi rakan datang dari Johor Bahru ke pantai berkenaan untuk mandi-manda.
“Dalam kejadian itu seorang lagi mangsa V. Yogaraj, 37, merupakan warga Singapura turut ditemukan lemas selepas dibawa arus deras, manakala seorang rakan mereka terselamat,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 6.21 petang. – UTUSAN