BACHOK: Perbuatan seorang lelaki yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aplikasi TikTok, membawa padah apabila dia ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung tindakan tersebut.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan berhubung tindakan lelaki itu pada Jumaat lalu.
Menurutnya, lelaki berkenaan telah bertindak mendatangkan keaiban terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghasut rakyat setempat supaya tidak menyertai Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini pada Sabtu.
“Siasatan mendapati suspek telah menggelarkan Perdana Menteri dengan jolokan nama yang amat memalukan dan mengaibkan iaitu ‘Ketimbang’ dan ‘Bang Non’.
“Lelaki itu turut membuat tuduhan bahawa Perdana Menteri akan hadir ke Bachok (Sabtu lalu) untuk menipu orang yang hadir ke majlis tersebut,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Mohamad Ismail memberitahu, susulan penahanan itu polis telah merampas telefon milik lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, siasatan untuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 masih dijalankan
“Ketika ini kami (polis) sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas telefon pintar itu mendapati lelaki berkenaan menyimpan kandungan video dan gambar lucah,” ujarnya.
Mohamad Ismail berkata, suspek mengaku bersalah dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan menyimpan bahan lucah itu.-UTUSAN