Kurangkan kerenah birokrasi, peraturan menyusahkan - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Kurangkan kerenah birokrasi, peraturan menyusahkan – Sultan Pahang

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menerima mengadap Menteri Besar (tiga dari kanan) serta barisan kepimpinan tertinggi negeri Pahang di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pentadbiran kerajaan negeri diingatkan supaya mengurangkan kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan rakyat.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda kecewa kerana perkara sedemikian masih lagi berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menjadi rungutan dalam kalangan rakyat.

“Antara yang saya perhatikan iaitu kalau boleh kerajaan di bawah pimpinan yang baru akan datang ini nanti supaya mengkaji segi selok belok kelemahan-kelemahan dalam birokrasi kerajaan.

“Birokrasi dan juga soal urusan kewangan lebih terperinci dan teratur. Dan ini penting kerana kita tidak mahu adanya seolah-olah kerajaan yang besar tetapi keberkesanannya tidak begitu berkesan. So it’s a redundant, seolah rugi sahaja, sepatutnya kalau besar (negeri) mesti lebih berkesan lebih efektif. So harap ini dapat dikajilah.

“Ini bukan bermakna kita nak mengurangkan tetapi nak memantapkan lagi urusan pentadbiran, kurangkan birokrasi, proses kelulusan, percepatkan kelulusan-kelulusan, tidak melambatkan khususnya bab-bab tanah, bab-bab kelulusan projek-projek yang boleh mendatangkan kebaikan untuk negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi negeri Pahang di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut meminta kerajaan negeri supaya mengkaji tempoh proses kelulusan dan syarat yang diberikan bagi beberapa perkara.

“Prosesnya sekarang dah ada dah bertulis semua ini tetapi saya rasa ini boleh dikaji dan dipercepatkan lagi. Kalau katalah kelulusan itu boleh buat dalam masa 40 hari, maka kenapa nak buat sampai 60 hari? Kenapa nak buat 80 hari? Contohnyalah. So dimanakah kelemahannya di situ? Kajilah semula.

“Kalau proses nak lulus, nak buat rumah ke apa, kadangkala banyak sangat prasyaratnya. Kena ada paip airlah, kena ada bomba punya keselamatanlah. Agak terlalu ketat juga. Rumah bukanlah besar sangat, jangan ketat sangat,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, syarat melibatkan keselamatan, industri, dan keperluan rakyat perlu diberikan perbezaan dan kajian oleh kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN