BUKIT MERTAJAM: Seorang kontraktor berusia 55 tahun mendakwa terpedaya dengan sebuah skim pelaburan palsu yang mengakibatkan kerugian mencecah RM629,500 sekitar pertengahan tahun lalu selepas dia didekati oleh sindiket penipuan melalui platform media sosial Instagram.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yeap, berkata, pada mulanya, sindiket itu hanya meminta untuk menjadi pengikutnya di Instagram tetapi tidak lama selepas itu, mereka mula memujuknya untuk melabur secara perlahan-lahan.
“Mula-mula saya tidak layan, tetapi mereka sangat pandai. Selepas itu, mereka berkongsi satu aplikasi pelaburan yang kononnya sah dan saya terus percaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yeap berkata, pada mulanya dia langsung tidak menyedari bahawa sindiket tersebut cuba memperdayakannya kerana mereka kononnya dengan rela hati bersedia menawarkan wang syarikat untuk menambah pelaburan awal yang dibuatnya iaitu sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun katanya, sindiket terbabit kemudian mendakwa bahawa pelaburannya mempunyai masalah dan dia sendiri perlu membuat pelaburan tambahan sebanyak RM50,000 selepas itu.
“Saya masih percaya dan melakukan beberapa transaksi wang dalam jumlah puluhan ribu ringgit setiap kali dengan harapan pelaburan saya akan memberi pulangan yang lumayan,” ujarnya.
Dia hanya sedar ditipu selepas sindiket itu gagal memenuhi janji mereka dan cuba mengelak apabila ditanya mengenai status pelaburannya.
Secara keseluruhan, Yeap telah melakukan 16 transaksi ke dalam beberapa akaun bank yang berbeza dalam tempoh sebulan, yang menyebabkan kerugian keseluruhan sebanyak RM629,500.
“Saya sendiri tidak tahu mengapa saya begitu percayakan mereka. Seolah-olah dipukau walaupun saya tidak pernah bertemu mereka,” katanya, menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan yang mencurigakan.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Pulau Pinang, Zeon Cheong, berharap lebih ramai mangsa yang menjadi mangsa sindiket penipuan seperti ini tampil untuk membuat aduan.-UTUSAN.