KANGAR: Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kangar, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin berhasrat untuk membawa agenda anak muda sekiranya terpilih dalam pemilihan parti itu pada Sabtu ini.
Menurut Khalid, beliau membawa agenda itu bagi menjadi suara generasi masa depan agar golongan muda khususnya di kawasan Kangar tidak ketinggalan daripada arus kemajuan.
Katanya, selain itu, dia juga berhasrat membina jaringan kepimpinan akar umbi yang mantap melalui latihan, bengkel dan peluang kepimpinan yang sebenar.
“Saya juga mempunyai misi untuk melaksanakan program pembangunan ekonomi anak muda termasuk bimbingan keusahawanan, digital ekonomi dan penempatan kerja.
“Malah, pemuda juga tidak boleh duduk diam apabila rakyat terhimpit dan perlu menjadi rakan strategik komuniti dalam menangani isu sosial, pendidikan serta kebajikan,” katanya, di sini, hari ini.
Dalam pemilihan kali ini, Khalid bakal berdepan pertembungan tiga penjuru berdepan lawannya iaitu Mohd Adib Ehsan Hashim dan Muhammad Umair Mohd Shapiee.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, tugas kepimpinan bukan hanya melibatkan aspek popular sahaja namun siapakah yang paling bersedia untuk berkhidmat buat masyarakat.
“Saya percaya AMK bukan sekadar sayap pemuda, tetapi merupakan barisan hadapan dalam perjuangan PKR dan merupakan suara generasi masa depan,” katanya.
Tambahnya, AMK juga perlu menjadi wadah bagi membudayakan politik nilai dan idea, bukannya sekadar sentimen murahan semata-mata.-UTUSAN