IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerajaan negeri berjaya dalam menoktahkan kemiskinan tegar menerusi pelbagai program kesejahteraan dan peluang ekonomi kepada rakyat.
Titah baginda, dalam hasrat menoktahi kemiskinan, pelbagai program kesejahteraan rakyat dilaksanakan meliputi pemadanan pekerjaan, bantuan peralatan perniagaan, latihan kemahiran dan keusahawanan, khidmat bantuan sosial serta bantuan bina baharu dan baik pulih rumah.
Baginda bertitah, antara inisiatif yang memberikan impak positif ialah Program Pusat Sehenti (One Stop Centre) Sejahtera Sosial Negeri Perak yang dilaksanakan dengan jaya di semua daerah.
“Program ini berjaya menghimpunkan di bawah satu bumbung, lebih 30 agensi pemberi bantuan, memudahkan capaian perkhidmatan dan bantuan yang diperlukan oleh rakyat miskin.
“Oleh itu, permasalahan kelompok sasar dapat diselesaikan secara in-situ. Melalui kesungguhan usaha dan komitmen pelbagai pihak, dalam tahun 2024 kerajaan Beta berjaya menoktah kemiskinan tegar kepada hampir sembilan ribu (8,986) ketua isi rumah,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga bertitah, dasar perumahan yang mengutamakan rumah mampu milik dan rumah kos rendah mempunyai kaitan langsung dengan usaha membantu kumpulan berpendapatan rendah, malah usaha menoktahi kemiskinan.
“Rumah ialah satu keperluan asasi. Oleh itu keupayaan memenuhi permintaan perumahan merupakan komponen penting dalam program pembangunan sosioekonomi negeri. Kerajaan Beta komited memastikan setiap rakyat dapat mendiami rumah, sama ada melalui pemilikan mahupun sewaan,” titah baginda.
Titah baginda, Dasar Perumahan Negeri menetapkan setiap pemajuan perumahan berkeluasan melebihi 20 ekar diwajibkan menyediakan 40 peratus rumah mampu milik.
Menurut baginda, Program Skim Sewa Perak Sejahtera diperkenalkan bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mendiami rumah sewa dengan kadar sewaan 20 peratus lebih rendah daripada kadar sewaan pasaran setempat.
Baginda bertitah, turut diperkenalkan inisiatif Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera, iaitu tawaran pembiayaan pinjaman tanpa faedah bagi pemohon yang layak dan Skim Pinjaman Perumahan Kos Rendah Bumiputera yang menawarkan pembiayaan pembelian rumah kos rendah kepada pembeli bumiputera yang berkelayakan, diperkenalkan mulai tahun 2025.-UTUSAN.