KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju meluluskan peruntukan khas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperhebat operasi menangkap lembu rayau yang mampu mengancam nyawa pengguna jalan raya utama di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Minggu Exco hari ini selepas beliau membawa usul supaya kerajaan negeri mengambil berat isu lembu rayau.
“Pagi tadi dua kemalangan membabitkan lembu merayau telah berlaku dengan salah satu kejadian itu telah meragut nyawa seorang remaja. Jadi saya minta kerajaan negeri ambil serius isu ini.
“Pada masa sama, kita juga berhasrat mahu menguatkuasakan Enakmen Pendaftaran Ruminan 2024 bagi menggantikan Enakmen Lembu Kerbau Negeri Kelantan 1968, yang mewajibkan semua pemilik haiwan mendaftarkan ternakan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, setiap seekor lembu yang dilahirkan wajib didaftarkan manakala bagi haiwan ternakan sedia ada proses tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri di Pantai Irama, Bachok, dekat sini, Sabtu ini.
Beliau berkata, ia melibatkan kerja-kerja promosi majlis tersebut menerusi papan-papan iklan digital di seluruh negeri.
“Persiapan majlis serta lain-lain perkara termasuk peruntukan akan diuruskan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan selaku pihak penganjur,” katanya. – UTUSAN