SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya sehingga situasi kebakaran dikawal dan disahkan selamat oleh bomba.
Setakat ini, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan seramai tujuh mangsa termasuk dua warga emas dikeluarkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sepasukan 78 anggota bomba melakukan usaha pemadaman api sejak pukul 8.10 pagi ini.
Kata beliau, pihak Petronas telah menutup injap saluran gas yang bocor yang menyebabkan kebakaran itu.
“Namun, keadaan api masih marak disebabkan sisa gas yang masih ada di dalam saluran tersebut dan ia menyebabkan api marak menjulang tinggi di kawasan Jalan Putra Harmoni.
“Proses mencari dan menyelamat mangsa sedang berlangsung dan Unit Pengurusan Bencana Negeri telah membuka satu PPS di Putra Heights serta bekerjasama dengan bomba untuk menerima mangsa evakuasi,” katanya hari ini
Menurut Amirudin, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor turut bersedia menerima mangsa untuk dirawat di hospital berdekatan.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam tidak mendekati kawasan itu sehingga situasi kebakaran disahkan selamat sepenuhnya.
“Keutamaan kini untuk mengawal kebakaran serta menyelamatkan mangsa.
“Saya mendoakan Allah melindungi seluruh anggota keselamatan dan agensi kerajaan yang sedang bertugas dalam situasi yang mencabar ini,” ujarnya. – UTUSAN