KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling yang akan bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Kangar dalam pemilihan parti itu menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang bermain sentimen kononnya beliau ‘orang luar’ sebagai tidak berasas.
Malah Ay Ling sudah menganggap Perlis khususnya Kangar sebagai rumahnya selepas hampir 10 tahun berbakti di kawasan berkenaan selaku wakil rakyat dan cukup dekat dengan masyarakat serta akar umbi di situ.
Katanya, tidak menjadi sebarang isu sekiranya beliau bukan berasal dari negeri ini untuk bertanding di cabang Kangar sebaliknya akan terus memberikan khidmat kepada penduduk di Kangar serta ingin melakukan perubahan di dalam kepemimpinan parti di kawasan itu.
“Kangar sudah menjadi rumah saya sendiri, malah saya sentiasa berada di sini untuk bersama masyarakat. Bermain sentimen saya sebagai orang luar adalah tidak berasas dan relevan sama sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pertembungan Ay Ling dan penyandang, Noor Amin Ahmad bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Kangar dalam pemilihan parti itu menarik perhatian pemerhati politik.
Selepas tewas dalam pemilihan lalu, Ay Ling sebagai satu-satunya wakil rakyat PKR di Perlis sekali lagi mencuba nasib dan kali ini beliau optimis mampu menewaskan Noor Amin.
Meskipun di atas kertas Noor Amin mempunyai kelebihan mengekalkan kedudukan namun tidak mustahil Ay Ling mampu membuat kejutan memandangkan beliau mempunyai kelebihan sebagai wakil rakyat yang banyak bersama masyarakat khususnya akar umbi di situ.
Dalam pemilihan PKR lalu, Noor Amin berjaya menewaskan Ay Ling dalam pertembungan tiga penjuru selepas memperolehi 631 undi.
Ay Ling dalam pemilihan tersebut mendapat 211 undi manakala seorang lagi calon pada masa itu, Amar Amran menerima 167 undian.
Ketika gelombang hijau yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menyapu hampir kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun Ay Ling tetap berjaya mengekalkan kerusi Indera Kayangan yang dimenangi sejak 2018 sekali gus menjadi satu-satunya wakil dari PKR yang menang negeri ini.
Ay Ling yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata, beliau berharap ahli di kawasan itu dapat menjalankan tanggungjawab dalam pengundian Sabtu ini.
Beliau juga optimis mampu mencipta kejutan dalam pemilihan kali ini bagi menewaskan Noor Amin yang juga Pengerusi PKR negeri.
“Saya menyerahkan kepada pengundi membuat penilaian dan memilih yang terbaik bagi memastikan perubahan dapat dibawa di kawasan Kangar,” katanya.-UTUSAN