MARAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 petang ketika kenderaan jenis Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pekan, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan.
“Akibat perlanggaran itu, penumpang belakang, Nurul Lara Maisarah Mohd. Hafiz, 7, tercampak keluar daripada kenderaan dan jatuh ke laluan bertentangan, lalu terkena cermin hadapan sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah Kuantan,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Kim Wai, mangsa yang juga anak kepada penumpang hadapan kenderaan tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Pekan Awah.
Siasatan awal mendapati, kesemua empat individu dalam Honda Civic tersebut merupakan satu keluarga yang terdiri daripada ibu bapa bersama dua anak perempuan mereka berusia sembilan dan tujuh tahun.
“Penumpang belakang kiri, Nurul Ariana Batrisya, 9, hanya mengalami calar ringan di badan, manakala ibu bapa mereka, Mohd. Hafiz Durani, 39, dan Wan Suhana Wan Abdullah, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Tambahnya, pemandu Perodua Myvi, Suhaimee Ismail, 57, turut mengalami luka kecil bersama isteri dan anak lelakinya berusia 11 tahun yang berada di tempat duduk belakang.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temerloh bagi proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN