PUTRAJAYA: Kekalahan di peringkat cabang PKR bukan penentu bahawa orang yang sama akan turut menghadapi situasi serupa di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan PKR, Mei ini.
Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, segala keputusan pemilihan bahagian cabang telah dibuat dan ia perlu dihormati.
Beliau berkata, dinamik politik dalam PKR adalah berbeza dengan parti lain.
“Pertimbangan setiap orang adalah berbeza, pertimbangan anggota di kawasan itu tertumpu kepada kawasan ataupun cabang.
“Tetapi perwakilan yang akan mengundi di peringkat Pusat itu ada pertimbangan yang lain daripada sudut usia, kepemimpinan dan sebagainya,” katanya.
“Saya yakin di peringkat MPP saudara Adam Adli tidak berhadapan jalan sukar untuk terus menyumbang, kerana prestasi kepemimpinannya baik dalam memimpin AMK,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Kamil berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai kekalahan Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim pada pemilihan bahagian cabang Hang Tuah Jaya lalu.
Tambah beliau lagi, ini kali pertama parti politik di negara ini menggunakan blockchain untuk mengundi.-UTUSAN.