KOTA BHARU: Kerajaan perlu bersikap jujur kepada rakyat dengan memberikan maklumat tepat susulan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menaikkan tarif import dari pelbagai negara termasuk Malaysia yang dijangka akan mengubah struktur industri semikonduktor tempatan.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu perlu supaya rakyat bersedia untuk berdepan dengan impak terhadap ekonomi susulan pelaksanaan tarif tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana sudah banyak Perdana Menteri dan Presiden di negara lain mereka telah jujur dalam memberikan maklumat berkaitan impak berhubung perkara itu.
“Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dipacu oleh sektor semikonduktor. Hal ini kerana, Malaysia adalah sebuah negara pengeksport terbesar yang mempunyai hubungan dagangan tinggi dengan Amerika Syarikat berkaitan industri semikonduktor
“Saya lihat ada beberapa penganalisis menyatakan pandangan Malaysia tidak akan terkesan kerana sektor semikonduktor akan dikecualikan.
“Namun hanya beberapa sektor semikonduktor akan dikecualikan sekitar 30 peratus sahaja, maksudnya banyak syarikat kecil dalam rantaian (semikonduktor) termasuk gergasi yang bertapak di Pulau Pinang, Kulim (Kedah) dan semua pelaburan akan terkesan sekiranya menjual produk kepada Amerika Syarikat pada harga tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai kek dan coklat di Kok Lanas di sini hari ini.
Syed Saddiq memberitahu, situasi itu menyebabkan produk keluaran negara tidak kompetitif
Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, Malaysia selaku Pengerusi Asean perlu mengajak seluruh pemimpin di rantau ini untuk bertemu dengan Trump.
Katanya, hal ini kerana ada dalam kalangan negara-negara Asean berdepan dengan kadar tarif terlalu tinggi.
“Jadi saya harap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat berunding secepat mungkin berhubung perkara ini supaya ekonomi negara-negara Asean tidak akan terjejas teruk kesan pelaksanaan langkah oleh Trump itu,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Trump melancarkan perang perdagangan terbesar dalam sejarah dengan dasar baharu tarif 10 hingga 50 peratus ke atas barangan dari 60 negara, termasuk Malaysia berkuat kuasa bulan ini.
Kadar tarif timbal balik yang dianggap ‘Hari Pembebasan’, didakwa untuk menangani dasar-dasar seperti manipulasi mata wang, undang-undang pencemaran dan buruh yang longgar, serta peraturan membebankan yang menghalang produk AS memasuki pasaran asing.
Di bawah dasar itu, sekutu utama AS, Kesatuan Eropah (EU) dikenakan kadar tarif sebanyak 20 peratus manakala Jepun (24 peratus), Korea Selatan (25 peratus), India 26 (peratus) dan Taiwan (32 peratus).-UTUSAN