KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara esok.
Menantunya, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaman Allahyarham akan diadakan selepas penghormatan terakhir diberi oleh orang awam pada pukul 11 pagi hingga 1 petang.
“Esok pagi jenazah akan dibawa ke Masjid Negara. Kemudian pada pukul 11 pagi hingga 1 petang jenazah akan diletakkan di dewan solat utama masjid untuk penghormatan terakhir diberi oleh orang awam.
“Jenazah juga akan dikebumikan di Makam Pahlawan setelah ia mendapat keizinan daripada Perdana Menteri. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keizinan ini,” katanya pada sidang akhbar di Institut Jantung Negara, malam ini.
Terdahulu media melaporkan, Allahyarham yang merupakan Perdana Menteri kelima mengalami masalah pernafasan sebelum meninggal dunia pada 7.10 malam ini.
Doktor yang bertanggungjawab merawat arwah di Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Azmee Ghazali berkata, arwah dimasukkan ke wad pada pukul 1 pagi hari ini akibat masalah pernafasan itu.
“Arwah dimasukkan ke dalam hospital kerana mengalami masalah sesak nafas pada pukul 1 pagi sehingga 7.10 petang ini.
“Masalah utama adalah disebabkan masalah sesak nafas. Kami dah buat segalanya serta memberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, dengan bantuan yang kami lakukan Tun tidak dapat diselamatkan.
“Selain itu, salah satu dari faktor pemergian arwah adalah faktor usia. Faktor usia memainkan peranan yang besar dalam hal ini,” katanya.-UTUSAN.