JDT belasah KDN FC 9-0 - Utusan Malaysia

JDT belasah KDN FC 9-0

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva melakukan tandukan ke arah gawang KDN FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara liga musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 9-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Mesin gol JDT, Bergson Da Silva muncul pemusnah buat skuad kendalian Rezal Zambery Yahya apabila mencetak lima gol pada separuh masa pertama.

Ayam tambatan JDT itu membuka jaringan seawal minit kelapan apabila menerima hantaran silang Park Junheong sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Pemain paling berharga (MVP) musim lalu, Arif Aiman Hanapi turut melakukan percubaan ke arah gawang lawan, namun percubaannya sedikit tersasar pada minit ke-14.

Pada minit ke-20, Bergson menambah jaringan buat Harimau Selatan dengan memanfaatkan sepakan penjuru diambil Nazmi Faiz Mansor apabila menanduk bola dari jarak dekat lalu menerjah gawang lawan.

Empat minit berselang, penyerang kelahiran Brazil itu melengkapkan hatrik apabila ledakan kaki kirinya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol KDN FC.

Pada minit ke-27, Bergson menghukum kesilapan Fikri yang gagal menampan kemas hantaran Jese Rodriguez ke dalam kotak penalti apabila mudah melakukan rembatan dari jarak dekat.

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva diraikan rakan sepasukan selepas meledak lima gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan Liga Super menentang KDN FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Bergson terus menjadi igauan buat pasukan pelawat apabila meledak gol kelima peribadinya setelah bijak menghidu peluang daripada kekalutan di luar kotak penalti dengan melepaskan rembatan deras dari jarak dekat.

Romel Morales dan Jese Rodriguez masing-masing mempunyai peluang menambah derita pasukan KDN FC, namun tidak berjaya menambah jaringan.

Bersambung babak kedua, Rezal Zambery mengeluarkan Mohammad Fikri dan membawa masuk penjaga gol bawah 23 tahun, Muhammad Alfaiz Zula’amin bagi mengelakkan gawang terus dibolosi.

Bagaimanapun, anak buah Hector Bidoglio hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk menjaringkan gol keenam perlawanan yang dijaringkan oleh Morales.

Gol keenam perlawanan itu berpunca daripada hantaran Rodriguez mencari Bergson yang melakukan larian dari sayap kiri sebelum membuat hantaran silang kepada Romel yang tidak dikawal menanduk masuk bola itu pada minit ke-54.

Romel menambah jaringan peribadinya tiga minit berselang berpunca daripada gerakan satu dua antara Bergson dan Rodriguez sebelum mudah menolak masuk hantaran pemain kelahiran Sepanyol itu.

Walaupun teruk diasak, skuad Kijang Emas tetap bernafsu melancarkan serangan tepat ke arah gol menerusi percubaan Haziq Mohd. Subri, namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol, Christian Abad Amat pada minit ke-71.

Pemain veteran JDT, Safiq Rahim yang dibawa masuk pada 10 minit terakhir permainan menambah derita pasukan pelawat apabila meledak gol kesembilan perlawanan apabila memanfaatkan umpanan Mohamadou Sumareh pada minit ke-84 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya