TEMERLOH: “Jangan jual ikan patin celup atau klon kerana orang datang ke sini untuk rasa hidangan ikan patin tempatan yang asli”.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan demikian kepada pengusaha ikan sangkar di daerah ini yang terkenal sebagai ‘lubuk’ patin tempoyak.
Baginda menzahirkan kebimbangan susulan dakwaan terdapat pengusaha yang membawa masuk ikan patin dari luar termasuk patin kolam untuk dijual di Temerloh sehingga boleh menjejaskan reputasi daerah ini sebagai pusat utama hidangan patin tulen.
“Jangan pendekkan rezeki orang lain dan juallah ikan patin dengan jujur,” titah baginda ketika berangkat ke Karnival Masakan Patin dan Sukan Rakyat di Dataran Temerloh sempena Kembara Pahang 1.0, ke Temerloh petang semalam.
Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik cadangan pensijilan khas kepada pengusaha ikan sangkar tempatan bagi membezakan spesies tulen Temerloh dengan ikan dari luar.
Titah baginda, langkah itu wajar untuk memastikan penggemar patin dari seluruh negara tidak tertipu serta menjaga nama baik daerah ini yang cukup sinonim dengan keenakan patin tempoyak.
“Kita perlu jaga nama baik Temerloh yang sudah dikenali kerana patin. Kalau dicemari dengan unsur penipuan, lama-lama orang tak datang lagi,” titah baginda. – UTUSAN