Jaga negeri, Chenor sebaiknya - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Jaga negeri, Chenor sebaiknya – Sultan Pahang

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyantuni rakyat di rumah Warisan Chenor di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Rakyat diminta menjaga keamanan, kesejahteraan dan kelestarian negeri ini termasuk kawasan Chenor di daerah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap tanah air sendiri.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian sempena rangka lawatan menyantuni rakyat, meliputi beberapa lokasi termasuk Sri Jaya, Kampung Sentosa, Paya Pasir, Jengka Batu 13 serta Pekan Lama Chenor di sini hari ini.

Menurut baginda, walaupun berhasrat bertemu semua rakyat, kekangan masa dan komitmen semasa menyebabkan tidak semua dapat disantuni dalam kunjungan berkenaan.

“Saya mahu jumpa semua, saya mahu santuni semua rakyat saya. Tapi masa tidak mengizinkan. Insya-Allah, jika ada rezeki dan kelapangan, saya akan datang lagi.

“Ini negeri kita, tanah tumpah darah kita. Saya minta semua anak Pahang jaga negeri ini, jaga Chenor sebaiknya. Jangan biar anasir luar merosakkan keharmonian yang kita bina selama ini,” titah baginda di Rumah Warisan Chenor di sini.

Lawatan baginda dimulakan di sempadan daerah Maran sekitar pukul 10 pagi sebelum meneruskan kunjungan ke Kompleks Pemulian Al-Quran Chenor dan Rumah Warisan Bandar Lama Chenor.

Di Rumah Warisan, baginda berkenan berangkat ke jamuan diraja dan kenduri rakyat yang menampilkan pelbagai sajian tradisional seperti Kuih Tiga Beradik, masakan tradisi Maran serta demonstrasi kuih tempatan yang memperlihatkan kekayaan budaya kulinari Pahang.

Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf serta menyantuni warga emas sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang institusi diraja terhadap kesejahteraan rakyat.

Lawatan baginda turut diserikan dengan kehadiran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan baginda di lokasi pertama di Sri Jaya, disambut penuh meriah oleh rakyat yang menanti sejak awal pagi dengan wajah ceria dan penuh rasa syukur.

Di Kampung Sentosa dan Paya Pasir, baginda sempat beramah mesra dan meninjau keadaan kampung serta kemudahan asas sambil mendengar luahan dan harapan rakyat.

Suasana di Jengka Batu 13 dan Pekan Lama Chenor pula bertukar menjadi pesta rakyat dengan kehadiran ribuan penduduk tempatan yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu mata dan bersalaman dengan Sultan kesayangan mereka.

Bagi penduduk setempat, keberangkatan baginda ke kawasan Chenor adalah lambang keprihatinan dan kasih raja kepada rakyat tanpa mengira lapisan umur atau kedudukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN