SHAH ALAM: Sebilangan besar daripada 265 pelajar mangsa yang sepatutnya pergi ke sekolah pada hari ini didapati tidak hadir apabila dipercayai masih mengalami trauma akibat kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mendapati hanya 20 peratus pelajar mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hadir ke sekolah berdasarkan penyediaan perkhidmatan lima pengangkutan ke 34 buah sekolah.
“Justeru Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan menghantar pegawai-pegawai untuk membantu pelajar yang terkesan di PPS bagi meneruskan sesi pembelajaran dalam bencana.
“Di peringkat awal , mereka akan dibantu mungkin sedikit sebanyak darjah atau kelasnya dan apa jua yang perlu dibantu. Maknanya kalau mereka tidak pergi ke sekolah pun kita tetap lihat keseluruhan 265 pelajar yang dikenal pasti supaya mereka tetap ke sekolah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) baru-baru ini turut mengumumkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap pelajar yang menjadi mangsa tragedi letupan paip gas.
Selain itu, Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Selangor memaklumkan sebuah laman sesawang akan dibangunkan bagi memudahkan pengurusan mangsa serta makluman agihan bantuan.
“Pelbagai bantuan yang diumumkan seperti pinjaman kereta, motosikal, baucar barangan elektrik, bantuan zakat, tanggungan sewa oleh kerajaan negeri dan sebagainya, ia akan dilaporkan ke dalam laman web tersebut, sejauh mana serahan dibuat.
“Ia akan digunakan oleh pegawai terlibat dan mangsa untuk melaporkan peratusan agihan sumbangan kepada mangsa termasuk tawaran rumah sewa,” ujarnya. – UTUSAN