KUANTAN: Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar ketegasan pentadbiran negeri dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan sumber hasil negeri, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial.
“Kita tidak akan tunduk kepada tekanan, ugutan atau helah pihak tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahupun kumpulan.
“Saya beri amaran keras, jangan cabar ketegasan kerajaan negeri. Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bersama agensi terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menubuhkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019 sebagai langkah memastikan tindakan penguatkuasaan dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.
Sejak ditubuhkan, sebanyak 23 operasi pemusnahan membabitkan 3,366 ekar tanah telah dijalankan, dan lima lagi operasi dirancang dalam tahun ini.
Tambah beliau, bermula 2023, pendekatan lebih tegas diambil apabila kerajaan mula mendakwa penceroboh di mahkamah berbanding sebelum ini yang hanya dikenakan kompaun.
“Sebagaimana disebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly, terdapat kes pencerobohan yang dikenakan denda melebihi RM100,000 di mahkamah.
“Ini bukan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan bahawa kerajaan negeri serius menangani isu ini secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN