Hidangan daging kuda curi tumpuan Jamuan Hari Raya Felda Jengka 24 - Utusan Malaysia

Hidangan daging kuda curi tumpuan Jamuan Hari Raya Felda Jengka 24

RAZAK Daud (enam dari kanan) bersama warga peneroka dan tetamu yang hadir sambutan Hari Raya Aidilfitri Felda Jengka 24 di Masjid Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jamuan Hari Raya Aidilfitri Felda Jengka 24 di sini tahun ini mencipta kelainan tersendiri apabila daging kuda menjadi menu utama yang menggamit selera lebih 2,000 pengunjung yang hadir.

Hidangan eksotik itu bukan sekadar mencetus rasa ingin tahu, malah habis awal apabila menjadi rebutan tetamu yang ingin merasai kelainan menu tersebut.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kuda disumbangkan oleh Maahad Tahfiz Sungai Salan di sini untuk dijadikan hidangan pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 50 kilogram daging kuda dimasak dengan pelbagai menu tradisi antaranya kari, rendang dan dipanggang.

“Daging kuda yang dimasak secara tradisional memberikan pengalaman baharu kepada ramai pengunjung terutama yang pertama kali merasai keenakan makanan ini,” katanya di sini.

Razak berkata, jamuan itu bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi wahana menyatukan empat generasi warga Felda Jengka 24 dalam suasana penuh harmoni, kasih sayang dan semangat kekeluargaan.

“Dengan tema ‘Menyatu Masyarakat, Bersyukur dan Berterima Kasih’, majlis ini memberikan makna yang cukup besar dalam memupuk rasa syukur dan penghargaan terhadap generasi terdahulu yang menjadi tulang belakang kemakmuran komuniti Felda,” katanya.

Beliau berkata, majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu yang tampil bergaya dalam busana tradisional lengkap bertanjak dan berbaju Melayu, memperlihatkan kekuatan jati diri Melayu yang kaya dengan adab dan warisan budaya.

“Semangat saling menghormati dan menghargai dalam kalangan anak cucu peneroka adalah kunci kekuatan Felda selama ini. Majlis seperti ini menyuburkan nilai-nilai murni itu,” katanya.

Beliau menyifatkan sambutan kali ini paling meriah dengan kehadiran warga daripada semua lapisan usia, hadir bersama keluarga dalam suasana kekitaan yang menyentuh hati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN