SHAH ALAM: Sekeping gambar tular yang memaparkan sebuah jengkaut terbenam di tapak pembinaan tidak mempunyai kaitan dengan insiden kebakaran dan letupan paip gas dekat Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa lalu.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail yang menafikan gambar itu adalah adalah di lokasi tersebut.
“Bukan,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Shaifuddin Shafi memberitahu pihaknya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung gambar yang dimuat naik oleh Facebook Selangor Sejahtera.
“Saya sudah lapor kepada MCMC (SKMM). Sebab polis secara tidak langsung sahkan itu bukan gambar di lokasi,” ujarnya.
Terdahulu tular gambar memaparkan jentera berat itu berada dalam keadaan separuh terbenam dekat sebuah tapak pembinaan dengan papan tanda tertulis ‘Awas paip gas, tekanan tinggi, sebarang pertanyaan hubungi Petronas Gas Berhad’.
Namun, lokasi sebenar tapak pembinaan tersebut tidak dapat dipastikan.
Hantaran berkenaan tular apabila mendapat lebih 13,000 reaksi, 3,400 komen dan 1,600 perkongsian, justeru ia didakwa mencetuskan persepsi dalam kalangan pengguna media sosial yang bertentangan dengan makluman dan siasatan pihak berkuasa.
Semalam, akhbar ini melaporkan Amirudin menjelaskan jangkaan kewujudan jengkaut di lokasi kebakaran susulan terdapat kerja-kerja pengorekan tanah di kawasan berkenaan.
Tegasnya, beliau meminta polis yang mengetuai siasatan insiden tersebut menyiasat perkara tersebut termasuk menggali tanah di sana bagi mencari jengkaut itu sekiranya ia benar terbenam akibat letupan paip gas.
“Kenyataan itu disalah faham oleh sesetengah pihak kerana sememangnya daripada perbincangan ringkas dengan Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan), memang kita menjangkakan ada jengkaut terbenam di kawasan berkenaan.
“Itu juga dijangkakan sendiri oleh Ketua Polis. Itulah yang saya kemukakan kemudian kepada masyarakat atau orang ramai. Kalau maklumat sampaikan, kedua kita kena siasat dan cari di mana jengkaut itu.
“Tidak timbul saya cuba menafikan isu saya cuba menafikan ada aktiviti ataupun cuba melindungi sesiapa sebagaimana ada sesetengah pihak dalam media sosial yang mempertikaikan kedudukan Menteri Besar dalam melihat isu itu,” jelasnya.
Sehingga semalam, sebanyak 130 pemilik rumah dibenarkan pulang selepas kediaman mereka disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Dalam tempoh sama juga, sebanyak 509 keluarga mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di dua lokasi berhampiran, pendaftaran tersebut dibuka sehingga tengah hari ini sebelum kerja saringan serta pengesahan maklumat dibuat bagi membolehkan bantuan awal RM2,500 dan RM5,000 diagihkan mulai esok. – UTUSAN