Gabungan NGO desak tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Raub, sokong operasi tegas UPNP - Utusan Malaysia

Gabungan NGO desak tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Raub, sokong operasi tegas UPNP

SEBAHAGIAN wakil daripada lapan NGO berhimpun bagi membuat laporan polis terhadap isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan, Raub, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Sungai Chalit di sini bagi menyuarakan sokongan padu terhadap tindakan tegas Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menangani isu pencerobohan tanah di Sungai Ruan di sini.

Disertai kira-kira 200 orang, perhimpunan diketuai Pengerusi Gabungan NGO ‘Ops Bangkit Bebaskan Tanah Air 2025’, Masridzi Sat itu turut menyaksikan lebih 22 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub terhadap insiden pencerobohan tanah dan provokasi didakwa dilakukan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui.

Masridzi berkata, pihaknya menyelar tindakan Yui Hui yang didakwa menengking dan menghina pasukan penguat kuasa UPNP ketika mereka menjalankan operasi menebang pokok durian di tanah kerajaan yang telah diceroboh.

“Kami menyokong penuh tindakan UPNP dan kerajaan negeri dan mengharapkan pihak berkuasa dapat bertindak lebih tegas termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada Ahli Parlimen Raub dan sekumpulan penceroboh tanah yang menengking, menghina, menghalang dan membuat provokasi kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

“Ahli Parlimen ini bertindak seolah-olah beliau sudah menjadi wakil kepada penceroboh tanaman durian musang king, bukannya menjadi wakil rakyat sebenar yang sepatutnya membela nasib keseluruhan rakyat di Raub.

“Ahli Parlimen ini juga didapati tidak menghormati keputusan mahkamah, tidak taat sebaliknya derhaka kepada perintah tuanku (Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan menghasut penduduk serta penceroboh tanah musang king untuk melawan kerajaan, negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada himpunan NGO berkaitan isu pencerobohan tanah di Sungai Chalit di sini hari ini.

Pengerusi Gerakan Martabat Pejuang Negeri (GMPN), Sazali Mansor berkata, pihaknya menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas pihak berkuasa membanteras pencerobohan tanah kerajaan, sambil menyeru agar operasi ini diteruskan sehingga daerah Raub bebas sepenuhnya daripada sebarang aktiviti haram.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tidak seharusnya terhenti setakat ini sahaja, malah perlu berterusan sehingga Raub benar-benar bebas daripada penceroboh haram.

“Kami menunjukkan sokongan dan solidariti kepada penguat kuasa yang sudah menjalankan tugas dengan baik. Terima kasih kepada UPNP, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua pihak. yang terlibat.

“Kami harapkan operasi ini tidak terhenti di sini. Teruskanlah sehingga Raub ini bersih sepenuhnya daripada sebarang pencerobohan tanah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN