KUALA LUMPUR: Pelakon, Edika Eusof menafikan dakwaan isterinya, Nor Hidayah Yusri yang kononnya pernah dikasari sehingga mengakibatkan isterinya itu menuntut cerai.
Kata Edika, meskipun pernah memarahi isterinya sebelum ini, dia tidak pernah tergamak untuk mengasari malah sering akur dengan kemahuan Nor Hidayah.
“Kadang adalah saya marah, tetapi tidaklah mendera dan sebagainya. Saya marah pun hanya untuk mendidik dia.
“Bahkan, antara kami tak ada rahsia, isteri saya pun boleh akses telefon bimbit saya, saya beri dia kebebasan, boleh keluar rumah dan kalau ada masalah, boleh mengadu kepada adik-beradiknya.
“Memang saya dengar dia ada bercakap dalam telefon dengan lelaki lain sampai pagi. Kalau saya nak cerita, banyak tetapi dia tetap mahu bercerai. Sebagai lelaki yang menyayangi dia, saya beri apa yang dimahukan,” kongsinya.
Edika semalam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi sebutan semula kes cerai yang difailkan Nor Hidayah.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 5 Mei sebagai prosiding lafaz cerai selepas kedua-duanya bersetuju untuk berpisah.
Kata pelakon itu, demi kebaikan kedua pihak, dia bersetuju untuk menceraikan Nor Hidayah asalkan isterinya itu mendapat apa yang dimahukannya.
“Bila anda sayangkan seseorang, kemudian lepaskan dia, itu tidak bermakna anda tewas.
“Dalam perceraian ini tiada siapa menang sebab ini bukan pertandingan. Ini pengadilan, sebab mahkamah pun sudah nasihat demi kebaikan bersama.
“Pada saya, ia satu kebaikan, saya pun lega, sebab sebelum ini setiap hari risau sebab isteri desak untuk bercerai.
“Saya fokus sahajalah kerja saya dan teruskan kehidupan, tidak ada masalah. Saya ini lelaki, apa yang berlaku saya ‘telan’, hanya mampu mohon maaf dan luahkan pada tuhan sahaja,” jelasnya.
Untuk rekod, Edika dan Nor Hidayah bergelar suami isteri pada 2003. Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.-UTUSAN.