KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak akan mempertahankan pelaku yang menyebabkan menyebabkan kematian pelajar maahad tahfiz di Kok Lanas di sini, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan dalam keadaan tergantung di dalam sebuah tandas kira-kira 12 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sentiasa bersedia memberikan kerjasama dalam membantu siasatan.
“Yang bersalah kita tidak pertahankan. Kita (kerajaan negeri) membuka ruang seluas-luasnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.
“Kita simpati dengan keluarga dan menyerahkan kepada pihak berkuasa polis untuk menjalankan siasatan serta pendakwaan,” katanya semasa sesi penggulungan persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pasukan peguam menghantar surat rasmi kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara hujung bulan lepas berhubung kes seorang pelajar tahfiz ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di dalam tandas di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, dekat sini, 12 tahun lalu.
Wakil peguam, Lyana Marzuki berkata, surat tersebut supaya pihak berkuasa dapat menjalankan semula siasatan selain menuntut keadilan.
Katanya, seramai 10 peguam dilantik daripada Kuala Lumpur dan Kota Bharu yang kini sedang mengumpul maklumat berkaitan kes berkenaan.-UTUSAN