TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan lelaki warga Thailand sekali gus membongkar taktik licik mereka menggunakan kereta tempatan untuk menyeludup petrol ke negara jiran semalam.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan pada pukul 1.30 tengah hari semasa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga menerusi Ops Tiris
Pengarahnya Azman Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua buah kereta jenis Proton Waja itu membawa kepada penemuan tangki tambahan yang dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan bakar itu ke negara jiran.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua buah kereta itu telah menjumpai 245 liter petrol.
“Siasatan awal mendapati suspek telah membeli kenderaan terbabit tanpa menukar nama pemilik asal sebagai helah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sekali gus memudahkan urusan untuk menyeleweng.
“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan kegiatan itu sejak lima bulan lalu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya, Ops Tiris itu turut mendapat kerjasama dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.-UTUSAN