DAP salur RM965,000 kepada mangsa letupan paip gas

DAP salur RM965,000 kepada mangsa letupan paip gas Putra Heights

ANTHONY Loke Siew Fook menyerahkan bantuan pada Program Penyerahan Bantuan Bencana untuk Mangsa Kebakaran Paip Gas Putra Height di Stesen LRT Putra Height, Subang Jaya semalam-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: DAP berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM965,000 dalam tempoh seminggu menerusi Tabung Bantuan Bencana khas bagi membantu mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tabung tersebut diwujudkan bagi memudahkan proses pengumpulan dana sebelum bantuan diagihkan kepada penduduk yang terkesan.

“Setakat ini, jumlah kutipan mencecah RM965,000 dalam tempoh hanya satu minggu. 

“Hari ini, kita mula melaksanakan agihan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat, mengikut dua kategori,” katanya dalam pada akhbar Majlis Penyerahan Tabung Bantuan Bencana di Stesen LRT Putra Heights, di sini semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, DAP telah menubuhkan Tabung Bantuan Bencana bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights susulan permintaan orang ramai.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, mangsa yang mengalami kemusnahan menyeluruh (total loss) akan menerima bantuan sebanyak RM5,000 manakala mereka yang mengalami kerosakan separa atau merupakan penyewa akan menerima RM2,000 setiap seorang.

“Secara keseluruhan, seramai 57 pemilik rumah menerima bantuan RM5,000, manakala 339 penerima lain menerima RM2,000 setiap seorang, menjadikan jumlah keseluruhan agihan mencecah RM965,000,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar dana yang diagihkan hari ini adalah sebagai permulaan berdasarkan pelan yang sedang diperhalusi bersama pihak kerajaan.

Loke berkata, tempoh kutipan selama seminggu sengaja ditetapkan bagi membolehkan bantuan disampaikan dalam masa yang singkat.

“Kita tidak mahu bantuan ini tertangguh. Kutip seminggu, terus agih. 

“Hari ini, kita buktikan bantuan boleh sampai kepada mangsa dalam tempoh yang cepat,” katanya.

Dengan selesainya proses agihan, beliau berkata, kutipan tabung bantuan tersebut ditutup secara rasmi dan tiada lagi sumbangan baharu akan diterima selepas ini.

Namun katanya, mana-mana individu atau pihak yang masih ingin menghulurkan sumbangan secara persendirian boleh berbuat demikian dengan menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang prihatin. 

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa, khususnya mereka yang tidak mempunyai perlindungan insurans,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya