KUALA LUMPUR: Cubaan tiga lelaki tempatan untuk menyeludup dadah jenis syabu bernilai RM3.33 juta menggunakan perkhidmatan udara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) gagal selepas kesemua mereka ditahan pada 5 April lalu.
Penahanan ketiga-tiga suspek berusia 33 sehingga 44 tahun itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama-sama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah bilik hotel di Kuchai Lama dekat sini pada pukul 11.40 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pada mulanya, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 38 dan 44 tahun di dalam bilik hotel berkenaan.
Kata beliau, pemeriksaan dalam bilik itu telah menemukan dua bagasi yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 73.8 kilogram (kg).
Tambahnya, pada waktu sama, satu lagi serbuan turut dijalankan ke atas sebuah lagi bilik berasingan di hotel sama sebelum menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 33 tahun.
“Pemeriksaan lanjut kami telah menemukan sebuah lagi bagasi mengandungi 30 bungkusan plastik disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 31.2 kg. Anggaran berat dadah ditemukan adalah 104 kg dengan anggaran bernilai RM3.33 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Rusdi berkata, ketiga-tiga suspek disyaki berperanan sebagai keldai dadah dengan menerima bayaran RM8,000 sehingga RM10,000 bagi membawa dadah itu ke Miri, Sarawak.
“Dalam operasi ini, kami (JSJN) berjaya menyekat aliran kemasukan dadah itu ke Sarawak. Kami syaki sindiket ini mula aktif sejak Januari lalu.
“Modus operandi mereka adalah dengan membungkus dadah ke dalam bungkusan teh cina sebelum diletakkan ke dalam bagasi dan membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan kurier. Semakan lanjut mendapati, bagi satu pek syabu berharga RM 30,000,” jelasnya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis morfin.
“Semakan rekod lampau mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait dadah dan jenayah,”ujarnya.
Rusdi berkata, kesemua dadah yang dirampas boleh menampung penggunaan seramai 520,000 orang penagih pada satu masa.
Kata beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula enam sehingga 12 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khusus JSJN akan terus berusaha memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN 012-2087222,” katanya. – UTUSAN